Hukum makan ulat sagu, halal ke?
Adakah anda pernah melihat video di mana segelintir individu muslim bertindak untuk menjadikan ulat sagu sebagai menu santapan dalam beberapa majlis dan acara?
Benarkah ia memang sesuai untuk dimakan?
Ulat sagu atau turut dikenali sebagai ulat rumbia adalah larva yang hidup dalam batang pelbagai jenis pokok termasuk pokok kelapa dan juga salak. Ulat yang berkepala coklat dan betubuh gemuk dan putih ini berada di beberapa tempat di sekitar Nusantara termasuklah Indonesia dan Malaysia.
Kegunaan Ulat Sagu

Ia merupakan sumber makanan bagi beberapa kaum dan bangsa disebabkan oleh kandungan protein dan vitaminnya yang tinggi. Terdapat dua cara bagaimana ulat ini dihidangkan atau dimakan iaitu dimakan secara mentah selepas dibersihkan dan dimasak mengikut resipi tempatan. Ia digelar sebagai makanan eksotik yang popular terutamanya di Sarawak dan digemari oleh masyarakat Melanau dan Dayak khususnya.
Kandungan protein yang terdapat di dalamnya dikatakan dapat membantu membina otot, mencegah pelbagai jenis penyakit dan meningkatkan mood dan prestasi ketika bersukan. Jadi dengan adanya kelebihan seperti ini, ia meningkatkan keinginan pelbagai pihak lain untuk mencuba dan menjamu ulat sagu ini.
Namun begitu, bagi anda yang tidak menggemarkan makanan eksotik atau luar biasa seperti ini, pasti tidak sanggup untuk menelannya.
Hukum Makan Ulat Sagu

Walaupun ramai atau hampir semua individu menjamu dan menikmati sesuatu makanan itu, belum tentu ianya halal untuk dimakan, bukan? Jadi, mari kita lihat dengan lebih teliti mengenai hukum menjamu ulat sagu ini.
Berdasarkan beberapa perbincangan, ulama’ berpendapat bahawa ulat sagu ini adalah HARAM dimakan kerana ia dianggap jijik. Ia juga dikatakan selari dengan keputusan fatwa yang dikeluarkan Jabatan Muft Negeri Sarawak pada 20 November 2014.
Jadi bagi anda yang beragama Islam, moleklah kiranya jika anda mengelakkan daripada mengambil dan memakan ulat sagu ini secara sukarela tanpa kemudaratan kerana Islam menganjurkan umatnya untuk mengambil dan makan makanan yang halal dan baik. Berdasarkan firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada segala benda yang buruk.”
Kesimpulannya, Islam memberi yang terbaik buat penganutnya dan ia akan mengharamkan setiap apa yang memberi mudarat kepada kehidupan dan kesihatan. Justeru, hukum memakan ulat sagu ini adalah haram kerana ianya kotor dan bernajis serta dikhuatiri akan memberi mudarat kepada tahap kesihatan dan mendatangkan penyakit.
Jangan lupa untuk layari laman sesawang www.kelab5pagi.com bagi mendapatkan pelbagai info menarik.
Recent Comments